Monday, April 15, 2013

Sedekah Suburkan Rezeki Dan Memberi Kepuasan



Buku yang bagus dibaca berkaitan sedekah

Jangan Terpengaruh Dengan Bisikan Syaitan 
                                           
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 268 yang bermaksud :

" Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil); sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dariNya dan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui."

Dalam mentafsirkan ayat ini, Ibnu Abbas berkata, " Ada dua perkara dari Allah, dan dua perkara dari syaitan."

Dua perkara dari syaitan ialah :

Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan. Syaitan berkata : " Janganlah kamu infaqkan harta kamu, simpanlah untuk diri sendiri kerana kamu memerlukannya." Dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil).

Sedangkan dua perkara dari Allah adalah :

" Allah menjanjikan untuk kamu keampunan daripada-Nya," maksudnya ke atas maksiat yang kamu lakukan, " dan kurnia" berupa rezeki.

Al-Qadi Ibnu Atiyah mentafsirkan ayat ini dengan berkata :

" Maghfirah (keampunan Allah) adalah janji Allah bahawa Dia akan menutup kesalahan hamba-Nya di dunia dan di akhirat. Sedangkan al-fadhl (kurnia) adalah rezeki yang luas di dunia, serta pemberian nikmat di akhirat, dengan semua yang telah dijanjikan Allah SWT.

Imam Ibnu Qayim Al-Jauziyyah dalam mentafsirkan ayat ini berkata :

" Demikianlah peringatan syaitan, orang yang menginfaqkan hartanya akan jatuh miskin bukanlah tanda kasih sayang syaitan kepada manusia, dan bukanlah nasihat baik untuk manusia. Adapun Allah, Dia menjanjikan kepada hamba-Nya kemapunan dosa-dosa, serta kurnia iaitu pengganti yang lebih baik daripada yang dia infaqkan, dan dilipat gandakan oleh-Nya sama ada di dunia saja atau di dunia dan di akhirat."

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda : " Harta itu tidak akan berkurang kerana disedekahkan."       (Hadis Riwayat Muslim)

Jika kaedah baku ini difahami oleh setiap muslim, nescaya tidak kira ketika miskin atau kaya, senang atau susah, setiap muslim pasti akan bersedekah kerana mereka yakin Allah pasti menambahkan harta dan kekayaan mereka. Siapa sahaja yang suka bersedekah, Allah akan balas dengan memberi sedekah kepada hamba-Nya. Percayalah!

Tetapi, jika sebaliknya, bagi muslim yang tidak percaya dan tidak mahu bersedekah, rezekinya akan diisempitkan oleh Allah. Telitilah hadis berikut ini. Asma' pernah bertanya kepda Rasulullah shallallahu alaihi wasallam : " Rasulullah, aku tidak mempunyai harta selain yang diberikan Zubair kepdaku, adakah aku boleh sedekahkannya?" Baginda menjawab :

" Bersedekahlah, jangan engkau berkira (bakhil), sehingga Allah juga akan berkira terhadapmu (menyempitkan rezekimu)." ( Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebenarnya Aku Kaya

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda : " Kekayaan (yang sebenar) bukanlah banyak harta. Namun kekayaan (yang sebenar) adalah hati yang sentiasa merasa cukup." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersedekah Mengikut Kemampuan

Dari Asma' binti Abu Bakar, dia pergi bertemu Nabi shallallahu alaihi wasallam lantas baginda bersabda :

" Janganlah kamu berkarung-karung (mengumpul harta dalam karung dan kamu kedekut untuk menginfaqkannya), kerana Allah akan menyempitkan rezeki untuk kamu dan berinfaqlah sekadar kemampuan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari : 1434)

Oleh itu, saudaraku sekalian, bersedekahlah kerana ia dapat menyuburkan rezekimu, memberi berkat ke atas rezeki yang diinfaqkan. Malah, terasa kepuasan dan kelapangan di dada apabila bersedekah. Dengan niat ikhlas kerana Allah. In shaa Allah!

Dipetik dari buku :
Banyak Sedekah menjadikan hidup lebih Berkat karya Abu Ahmad Abdul Fattah terbitan Kemilau Publika.


No comments:

Post a Comment